***Ziarah Tn Pak Cik Tajul***

Salam ceria,
Ketika Tuan Pak Cik Tajul berjalan menuju tangga Bas 2 tingkat milik GISB Holdings Sdn Bhd untuk turun sebelum kami sampai ke Tasik Raban dari arah Grik, anjang hanya menyangka tentu beliau nak buang air. Selalunya, bila seorang turun, ramailah akan turun sekali. Tak sangka rupanya, tahap kesihatan Pak Cik ketika itu sangat membimbangkan.

Selepas 5 hari Pak Cik masuk hospital, barulah anjang berpeluang menziarahinya. Itupun lupa, di wad mana Pak Cik terlantar. Beberapa orang yang anjang tanya tentang wad Pak Cik Tajul tak memberi respon. Hanya Tn Mohd Som je yang jawab, ada ciri-ciri orang YKPPM. Hehe. 13 Wad 4A. Ringkas je jawapannya. Ertinya wad 4A, katil 13. Hospital mana? Sg Buloh.

Setelah meredah hujan lebat sepanjang jalan, akhirnya dah jam 8 lebih, sampai juga anjang ke Hospital Sg Buloh. Bila nak minta izin masuk melawat, staf yang menjaga di pintu pendaftaran pelawat, seorang mak cik dalam lingkungan 50’an tidak membenarkan.
“Siapa nama pesakit?”
“Tajul Ariffin Abd Rahman,” jawab anjang.
“Malam-malam hanya waris je boleh ziarah!” katanya tegas.
“Berilah saya peluang, saya datang dari Tg Malim, nak ziarah.”
“Dah berapa hari dia masuk?” katanya sambil memegang beberapa keping ic pelawat-pelawat yang lain. Sebenarnya malam 10hb tu, tak ramai pelawat pun, sebab cuaca yang hujan, menghadkan orang keluar rumah.
“Dah 2-3 hari,” jawab anjang.
“Tak boleh! Kalau baru masuk, boleh.”
Allah, macam tu pula. Hai… macam mana nak tengok Pak Cik ni.

Anjang tak terus balik. Tunggu lagi di luar. Mengadu kepada seorang staf yang lain.
“Saya nak datang sebelum ni, tapi Pak Cik tu sedang memakai alat bantuan pernafasan. Jadi, sekarang dah buka, lagipun ada peluang nak ziarah malam ni.”
“Nanti, jam 8.30, orang dah kurang, insyaAllah boleh.” jawabnya melegakan hati anjang.

Semasa meminta sekali lagi, anjang katakan, “Saya ziarah sekejap je..”
“Ramai yang cakap macam tu, dah dapat pas ziarah, berjam-jam di atas,” katanya separuh merungut.

Biarlah dia begitu, mungkin ramai yang tak menghormati tugasnya. Dapat pas, anjang terus menapak laju di laluan ke wad. Bertemu dua pos kawalan lagi, sebelum sampai ke lift. Naik di tingkat 4, bertanya dengan misi /jururawat yang bertugas, akhirnya sampai anjang ke katil Pak Cik. Di sisinya Kak Seha setia menunggu.

Pak Cik menghulurkan tangan yang kelihatan lemah, anjang bersalaman lalu mengucup tangannya sambil Kak Seha bertanya, “Kenal ke siapa ni?”
“Tuan Harun,” spontan jawab Pak Cik dengan suara yang lemah.
Mulanya anjang tak tau sebab apa Kak Seha bertanya begitu. Rupa-rupanya ingatan Pak Cik kembali pulih hari itu. Jam 1 pagi itulah, Pak Cik baru teringat semua yang berlaku.

Dengan suara bernada rendah, diselang seli dengan batuk yang agak kuat, Pak Cik ceritakan semula semua yang berlaku. Anjang mendengar penuh sayu hati. Seorang yang telah lebih 70 tahun umurnya, dengan kedut-kedut di muka dan dahinya melambangkan usia yang telah beliau lalui menceritakan kebesaran Allah yang terjadi pada dirinya.

Setelah turun dari bas dan buang air, Pak Cik ajak krew yang menemaninya membawanya ke hospital kerana terasa tak sedap badan. Badan terasa sakit-sakit. Maklumlah dah beberapa hari bermusafir, dari BCH-Kuantan-KT-KB terus ke Grik kerana Jalan Kuantan telah ditenggelami banjir. Di hospital Grik, pihak hospital telah mengesan keadaan kesihatan beliau yang membimbangkan, mencadangkan agar Pak Cik dihantar ke Hospital Ipoh dengan Ambulan Hospital. Pak Cik enggan, sebab bercadang nak terus bertemu Dr Abd Rahim di Kedah.

Sepanjang perjalanan dengan kereta, Pak Cik keletihan tetapi gagahkan diri. Di Ipoh, Pak Cik muntah. Oleh kerana kehitam-hitaman, ada yang menyangka ia air kopi, sedangkan hakikatnya, Pak Cik muntah darah. Kata Pak Cik, hampir sebaldi Pak Cik muntah. Bermula di situ, keadaan kesihatan Pak Cik amat merosot.

Tak jadi ke utara, Pak Cik terus ke BCH menaiki kereta. Sebenarnya sepanjang perjalanan, Pak Cik dah tak berapa sedar. Oleh kerana krew yang membawanya tiada pengalaman mengenai kesihatan Pak Cik, dia menyangka Pak Cik tidur keletihan hinggalah dibawa Pak Cik tidur di bilik Homestay Ikhwan, BCH.

Ditakdirkan Tuhan, Kak Seha sampai di BCH jam 12 tengah malam dan melihat keadaan Pak Cik. Bila digerak-gerak tidak terjaga, Kak Seha sangat pasti, Pak Cik bukan tidur tetapi dalam keadaan tidak sedar lalu terus dikejarkan ke hospital Sg Buloh.

Di Hospital Sg Buloh, Dr mengesahkan keadaan Pak Cik yang kritikal. Darah di badannya hanya ada 3.++ sahaja sedangkan manusia normal perlukan 6. (anjang tak pasti unit apa digunakan untuk mengiranya). Pak Cik ada masalah hati. Ada pendarahan di usus. Pembedahan perlu dilakukan segera kerana walaupun tidak nampak di luar, pendarahan di usus terus berlaku menyebabkan darahnya semakin kurang. Bila di periksa kandungan gula dalam darahnya pula terlalu tinggi. 30mmol/l.

Pembedahan tidak boleh dilakukan dalam keadaan yang begini. Ditambah lagi faktor usia pesakit dan mempunyai masalah jantung. Maka ketika itulah kata Pak Cik, menceritakan pada anjang, sangat terasa Pak Cik akan mati. Berita telah disampaikan pada USU. PIHA sendiri mendoakan kesihatan Pak Cik dan dipanjangkan umur begitu juga seluruh dunia GISB. Ahli keluarga telah dipanggil. Tandatangan kena diturunkan kerana operation yang akan dilakukan sangat berisiko tetapi ia tak boleh dielakkan.

Pak Cik bertanya pada nurse yang bertugas, “Tak ada harapan lagi ke?”
Dia menjawab, “Pak Cik mengucap ye Pak Cik. Semua orang akan menemui kematian. Bila-bila masa sahaja.”
Memang Pak Cik dapat rasakan dirinya terlalu lemah. Dah habis seluruh tenaganya. Dia pasrah dengan Tuhan.
“Ya Allah, Engkau kan Maha Pengasih, Maha Penyayang. Kasihanilah aku.”
Pak Cik merintih, munajat, meminta sepenuh hati. Bertawassul dengan para kekasih Allah. Bersama rintihan yang tak putus-putus dan doa seluruh yang menyayanginya, tiba-tiba Pak Cik terasa seperti mendapat kekuatan. Jasadnya terasa bertenaga semula. Entah dari mana, dia rasakan badannya bertenaga berbeza seperti sebelumnya. Ketika itu para doktor memeriksanya dan mendapati prosuder pembedahan boleh dilakukan, maka Pak Cik dibedah.

Takdir mengatasi segala kajian dan pengalaman. Kuasa Allah berlaku pada Pak Cik, pembedahan berjaya dilakukan. Para doktor sangat terkejut dan gembira. Seluruh badan Pak Cik memberi respon yang positif. Pak Cik ditukarkan ke wad biasa. Ya, sepanjang 5 hari itulah saudara mara dan kawan-kawan dah datang berziarah. Sebenarnya, ketika itu ingatan Pak Cik belum pulih. Dia tak mengenali siapa di hadapannya. Beliau sendiri lupa apa yang terjadi sejak dalam bas lagi. Malah, Pak Cik bertanya, sebenarnya dia di mana? Di Terengganu ke?

Alhamdulillah, terima kasih Tuhan yang telah mengembalikan kesihatan Pak Cik. Mengembalikan ingatan Pak Cik. Moga Pak Cik semakin sehat. Moga roh Pak Cik melonjak tinggi. Doakan kami yang masih belum kuat berhubung dengan Tuhan. Maha Besar Allah yang boleh memberi seseorang sakit yang kritikal dengan tiba-tiba. Menghilangkan memori seseorang hingga lupa segalanya. Maha, Maha, Maha Berkuasanya Allah yang boleh mengembalikan semua itu sekelip mata, bila Dia kehendaki. Marilah kita tambah takutkan Tuhan yang Maha Segalanya. Marilah kita merindui Nabi yang dengan berkat dan rahmat darinyalah berlaku seluruh kejayaan dunia akhirat.

Ya Allah, taubatkan kami, ampunkan dosa-dosa kami. Dosa tidak takut setakut-takutnya dengan Allah. Dosa tidak rindu serindu-rindunya dengan Nabi. Sesungguhnya Ya Allah, tuhanku Maha Pengampun dosa-dosa yang besar.

Musolla GISB Tg Malim
3.35pm, Dis 13, 2013

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s