***Hamba Allah vs Hamba Manusia***

Salam ceria,
Secara fitrah, manusia tak boleh menerima penghambaan sesama manusia. Sebab itu sistem hamba dihapuskan dalam Islam dengan pelbagai cara secara evolusi dengan adanya ayat Quran mahupun hadis menggalakkan pembebasan hamba. Ada denda-denda tertentu kerana melanggar hukum syara’, kena merdekakan hamba. Akhirnya pehambaan manusia dengan manusia hanya tinggal sejarah dalam Islam.

Yang ada hanya menghambakan diri pada Allah. Itu juga adalah fitrah. Fitrah positif yang perlu di suburkan. Dengan apa? Dengan ilmu dan didikan. Panduan dan bimbingan. Pimpinan yang berterusan dari buaian hingga ke liang lahad. Jadi, menghambakan manusia, mengurung, mendera secara fizikal dan mental malah spiritual amat tak boleh diterima oleh manusia tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit.

Oleh itu, bila tersebar berita Siti Aishah dari Jelebu Negeri Sembilan dijadikan hamba selama 30 tahun di London, semua orang tak dapat menerimanya. Bukan sedikit masa, 30 tahun… lama tu!! Bukan di negara tak bertamadun, tapi di London, kota tumpuan pelancong. Idaman orang berduit (bukan beruang ye! Hehehe) untuk ‘shopping’. Bukan budak terbiar merempat, pelajar cerdik, bekas pelajar Kolej Tunku Kurshiah (TKC). Sambung belajar di London School of Economics (LSE) di United Kingdom pulak! Begitulah hati kita semua menolak pehambaan moden ini.

Jadi, semua orang boleh menerima dia adalah hamba Allah, bukan hamba manusia sesama makhluk. Tetapi persoalannya, apakah kita semua sudah benar-benar menjadi hamba Allah? Apakah tangan kita digunakan sesuai sebagai tangan si hamba? Membuat segala kebaikan. Mentaati Allah dan berkhidmat sesama manusia.

Apakah kaki kita digunakan selayaknya sebagai kaki hamba Allah? Melangkah ke tempat-tempat yang Allah redhai. Adakah mata kita, digunakan sesuai sebagai mata hamba Allah, memandang hanya pada sesuatu yang Allah benarkan. Apakah telinga kita hanya mendengar sesuatu yang baik-baik sahaja atau mendengar semua bunyi dan suara.

Bagaimana pula dengan lidah, perut dan kemaluan, tepat ke penggunaannya sesuai dengan tujuan ia semua diciptakan oleh Allah. Betapa lagi akal fikiran dan perasaan. Adakah kita berfikir, sesuai dengan kehendak Allah. Adakah berperasaan sesuai dengan kehendakNya.

Marah keranaNya, maafkan keranaNya. Benci keranaNya, suka keranaNya. Rindu seseorang keranaNya, Sabar dan Redha juga keranaNya.

Atau tangan, kaki, mata, telinga, mulut, perut dan kemaluan malah fikiran dan perasaan sudah tidak berkelakuan sesuai dengan taraf diri pemiliknya hanya seorang hamba. Hamba yang hina, berasal dari tanah dan air mani yang terpancar. Tau diri hamba Allah tetapi tidak menyembah Allah. Malah menyembah, tunduk, patuh, menjunjung perintah nafsu dan syaitan. Maka manusia bukan lagi hamba Allah tetapi hamba nafsu.

Berapa ramai manusia yang bukan lagi menghambakan diri pada Allah, tetapi menghambakan diri pada nafsu dan syaitan. Walaupun ia berlawanan dengan fitrah semulajadi manusia. Tak sapa peduli. Tak kecoh pun. Bukan setahun, bukan 10 tahun, bukan 30 tahun, malah berpuluh-puluh tahun menghambakan diri kepada selain Allah. Tak ada sapa nak membantu. Tak sapa peduli. Ampunkan kami Tuhan.

Imarah Travel, BCH
12.30am, Nov 22, 2013
………………………………………………………..

United Kingdom sahkan Siti Aishah masih warganegara Malaysia

NOVEMBER 28, 2013

Pihak berkuasa United Kingdom hari ini mengesahkan status wanita yang dijadikan hamba selama 30 tahun di London adalah warganegara Malaysia dengan nama berdaftar Aishah Wahab (gambar) dan bertarikh lahir 27 Mei 1944.
Menurut Kementerian Luar memandangkan kes itu masih di peringkat siasatan, akses bagi mendapatkan maklumat lanjut adalah terhad dan tertakluk kepada Akta Perlindungan Data 1998 di bawah undang-undang tempatan United Kingdom.

Pihak berkuasa tempatan masih belum memberikan akses terus kepada mangsa setakat ini.

“Suruhanjaya Tinggi Malaysia (STM) akan menghulurkan kerjasama sepenuhnya kepada pihak-pihak terlibat dalam membantu urusan penyiasatan,” kata Kementerian Luar dalam kenyataan di sini.

Kementerian Luar melalui STM di London memantau rapi status wanita itu yang sebelum ini dijadikan hamba selama 30 tahun di Selatan London.

Kenyataan itu menyebut STM juga akan mengambil langkah susulan bagi menentukan status mangsa tersebut dari segi undang-undang.

“Sekiranya beliau secara tidak disedari telah kehilangan kewarganegaraan Malaysia serta tidak mempunyai sebarang kerakyatan dalam tempoh 30 tahun yang lalu di bawah keadaan daif, STM akan bekerjasama dengan pihak berkuasa lain bagi mengembalikan semula kerakyatan beliau.

“Bantuan konsular selanjutnya akan dihulurkan kepada mangsa dan ahli keluarga, sebagaimana sesuai dan perlu,” kata Kementerian Luar.

Sabtu lepas, media melaporkan wanita berusia 69 tahun itu antara tiga wanita yang dibebaskan daripada perhambaan pada 25 Okt lepas di London, selepas seorang daripada mereka menghubungi pertubuhan kebajikan. Dua wanita lain ialah warga Ireland dan Britain.
Aishah yang sebelum ini dikenali dengan nama Siti Aisyah, berasal dari Jelebu, Negeri Sembilan dan meninggalkan negara pada 1968 untuk melanjutkan pelajaran di London School of Economics (LSE) di United Kingdom.

Namun, ketika berada di sana, dia dikatakan terpengaruh dengan pergerakan Maoist iaitu politik melampau sehingga mengabaikan pengajiannya.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan identiti wanita itu sebagai Siti Aishah Abdul Wahab dan merupakan individu yang dikehendaki pada 1970-an di negara ini kerana aktiviti berhaluan kiri. – Bernama, 28 November, 2013.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s