.*** Dialog Bonda UJ dengan BR***

ImageSalam ceria. Musuh Mukmin ada 5, korang semua dah tau kan? Ni ceramah Abuya lama-lama dulu. Kena la amik tau. Jangan sibuk dengan benda yang tak berfaedah. Kena ulangkaji yang lama dan pastikan mengikuti yang baru. Ada diantara musuh tu, cara menghadapi mereka adalah, kita buat apa yang mereka buat tetapi dengan cara kita. Mereka ada sekolah, kita kena ada sekolah. Mereka ada kedai, kita kena ada juga. Mereka buka klinik, kita beri khidmat di klinik kita, mereka ada penyanyi, kita punya kumpulan nasyid dan group teater. Mereka ada channel tv, kita ada tvrsa. Pendek kata, apa yang mereka ada, kita ada alternatifnya walaupun saiznya tak sebesar mereka, at least masyarakat ada pilihan dan nampak sistem Islam yang sebenar. Contohnya, pejuang-pejuang idelogi mempunyai akhbar mereka sendiri, maka untuk GISB, Allah izinkan Buletin Rakyat sudi menjadi sumber Masyarakat mengetahui persoalan-persoalan yang timbul antara GISB dengan masyarakat mahupun pihak berkuasa.

Post ini memaparkan soalan-soalan dari BR dan jawapan-jawapan dari Bonda Ummu Jah ar terhadap soalan tersebut. Moga kita dapat mengambil faedah darinya:

 

 

Jawapan Soalan 1-3 Buletin Rakyat

 

S1 : Nampaknya pihak tertentu terus memainkan isu Ummu Jah mahu menghidupkan kembali pertubuhan Al-Arqam dan kononnya mahu menggantikan Allahyarham Ashaari Muhammad?

 

Ummu Jah : Pertubuhan Al Arqam itu difatwakan sesat pada 5 Ogos 1994 adalah kerana mengamalkan pakej ibadah Aurad Muhammadiyah. Waktu itu Al Arqam pun dihancurkan dengan menutup dan tertutupnya segala perniagaan orang Melayu Arqam. Ajaran sesat itu rupanya juga ialah kedai-kedai dan kilang-kilang orang Islam mengusahakan makanan halal dan ekonomi Islam.

 

Menyedari hakikat yang pahit ini KDN selaku pihak yang bertanggungjawab kepada Ashaari dan saya selaku tahanan ISA, telah membenarkan kami berniaga semula, sejak di dalam ISA lagi. Maka dengan kuasa Allah, hiduplah perniagaan semula oleh Syarikat Rufaqa’ Sendirian Berhad. Sekarang Syarikat kami ialah Global Ikhwan Sdn Bhd. Dalam masa yang sama JAKIM teruskan juga peranannya memperjuangkan bekas Arqam agar jangan sesat lagi. Jangan ulangi sesuatu yang telah difatwakan sesat. Kalau begitu, mengapa pula saya didakwa mahu menghidupkan kembali pertubuhan Al Arqam? Jangan-jangan nak bunuh perniagaan orang Melayu dan ekonomi Islam lagi. Bila dah hancur syarikat nanti dikatakan tak sesat lagi. Dah tak perlu kursus aqidah lagi.

 

Realitinya Ashaari Muhammad kini ialah Allahyarham. Apa salahnya saya meneruskan perniagaan itu bersama 500 orang BOD dan IBU serta 4000 orang staf? Memang saya yang mengusahakannya bersama Allahyarham, keluarga dan kakitangan syarikat!

 

Dan saya kini tidak pun ditangkap seperti dulu, adalah bukti bahawa GISB tiada masalah dengan kerajaan. Terima kasih kepada pihak berwajib yang telah membenarkan GISB ikut sama arus perdana berkecimpung di dalam masyarakat Malaysia melakukan tugas-tugas yang penting di dalam Negara secara langsung atau tidak. Fokus kerajaan sekarang di antaranya ialah membawa orang Islam kembali kepada Tuhan sebagai langkah membenteras kegiatan buang bayi, gay dan lain-lain. Iaitu kerosakan-kerosakan moral serta gejala-gejala negatif yang kian meningkat di dalam masyarakat.

 

S2 : Seekor semut telah terperangkap dalam beg tangan seseorang sehingga dibawa ke London. Bila semut berkenaan balik semula ke Malaysia lalu berceritalah si semut tentang pengalamannya melihat kota London dan sebagainya. Malangnya semua semut tidak percaya bahawa semut tadi pernah ke London. Dalam konteks Ummu Jah pula selalu memperkatakan pasal alam roh dan keadaan dunia di luar sana sehingga ramai menyifatkan ianya ada kaitan dengan perkara-perkara sesat dan sebagainya? Bolehkah cerita Ummu Jah dikaitkan dengan kisah semut tadi?

 

Ummu Jah : Semut itu hamba Allah yang sentiasa berzikir dan berdoa kepada Allah dengan penuh kasih dan cinta. Semut juga sentiasa berselawat penuh rindu kepada Nabinya yang sangat berjasa. Suatu hari si semut itu bernasib baik, ditakdirkan Allah dapat tumpang ke London. Tapi malang kawan-kawan semut tidak mampu percaya bahawa dia berezeki ke London. Mungkin kawan-kawannya itu sama seperti orang-orang Islam yang tidak mampu beriman bila mendengar khabar peristiwa Isra’ mikraj yang Allah takdirkan berlaku kepada Nabi kekasih junjungan Muhammad SAW, walhal ramai juga sahabat yang mampu percaya. Dengan maksud, ramai juga semut yang boleh percaya bahawa ada semut ke London atas dasar kebolehan luar biasa semut itu memasuki beg tangan manusia.

 

Allah berfirman yang ertinya, “Bila mereka bertanya kepadamu tentang roh, katakanlah roh itu urusan Tuhan. Kamu tidak diberikan (ilmu) tentangnya melainkan sedikit,” (Surah Al Isra’ ayat 85)

 

Ada ulama mentafsirkan ayat ini : Jangan campur urusan-urusan roh atau ghaib sebab Tuhan tidak benarkan, nanti sesat.

 

Ada pula ulama yang mentafsirkan : Tentang adanya Syurga, Neraka, Alam ghaib, malaikat dan roh-roh suci itu semuanya hanya disuruh beriman dengannya, taat sahaja kepada Allah. Sebab manusia tidak mampu logikkan alam ghaib dengan akalnya. Beriman dengan Allah dan Rasul dan beriman dengan alam ghaib bukan sekadar percaya. Beriman dengan hati ialah terlalu yakin, terlalu cinta, terlalu beramal dengannya dan memperjuangkannya.

 

Saya selaku pengikut dan anak murid Abuya Ashaari Muhammad diajar dan dilatih untuk berIslam dan beriman ini. Dan saya memang telah menjadikan Islam dan Iman itu cara hidup saya. Yakni tidak hanya aktiviti duniawi yang saya praktis. Hal-hal ukhwari, rohani dan maknawi itu pun saya ambil sebagai satu pencapaian yang sepatutnya. Kenapa tidak, sedangkan Tuhan yang saya cintai itu tiap-tiap hari saya mengadap dan bercakap-cakap padaNya tanpa saya mampu melihatNya. Jenuh saya berusaha untuk bersembahyang sepenuh hati. Sebab saya sangat ingin mempunyai hubungan hati yang intim dengan Allah Tuhan saya itu. Dan saya mahu perbualan denganNya benar-benar saya hayati dan kuasai. Oleh sebab mata tak boleh melihat Allah maka saya gunakan hati untuk dapatkan Allah yang memanggil saya pada Nya 5 kali sehari itu. Hati kena pergi kepada Allah yang mengaku sedang melihat dan mendengar sembahyang saya itu. Terima kasih Ya Allah, kerana memberikan hati untuk boleh berhubung denganMu. Allah itu ghaib, kita kena dapatkan Allah yang ghaib. Cinta dan takut padaNya kerana telah menciptakan kita dengan kasih sayang dan akan memusnahkan (mematikan) kita dengan keadaan kita akan merasa sakit, sesakit-sakitnya nanti.

 

Allah itulah yang memberitahu bahawa Dia ada alam roh atau alam ghaib. Hamba-hamba disuruh beriman dengannya. Hasil didikan Abuya, saya kini sentiasa ingin untuk kembali ke kampung asal (alam ghaib) yang dari sanalah saya didatangkan ke bumi ini buat sementara. Walaupun mati itu menakutkan tapi Abuya berjaya membuatkan saya merinduinya. Macam ibu yang menunggu hari untuk melahirkan kandungannya sangat takut, tapi indahnya dapat anak. Ya, alam roh di sana itu sesungguhnya ialah destinasi akhir perjalanan hidup ini. Sesat jalanlah sesiapa yang tidak sungguh-sungguh meyakini, menyintai, beramal untuknya dan memperjuangkannya.

 

Alam akhirat, alam barzakh, alam roh, alam ghaib, semuanya boleh didapatkan dengan roh atau hati kita. Hati orang-orang Islam memang yakin dengan Allah yang ghaib serta adanya kerajaan bumi dan kerajaan ghaib sebagai kerajaan Allah. Allah walaupun Esa tapi mempunyai kerajaan yang sangat ajaib. Di alam ghaib, kerajaan Allah dianggotai oleh:

 

1. Nabi Muhammad SAW

2. Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul

3. Para Malaikat

4. Roh-Roh suci orang soleh atau orang bertaqwa yang masih hidup atau telah meninggal dunia

5. Para keluarga Rasulullah dan para sahabat

6. Para jin-jin Islam

7. Para jin-jin kafir dan syaitan selaku musuh yang Allah ciptakan

 

Kerajaan ghaib Allah jauh lebih besar daripada kerajaan bumiNya. Memang akhirat itu jauh lebih besar dan lebih utama, daripada dunia, menurut firman Allah sendiri. Istimewanya orang Islam yang beriman dibandingkan dengan orang bukan Islam ialah kerana hati orang Islam atau roh mereka itu sangat mampu berhubung dengan alam ghaib. Guru mereka telah latih roh mereka itu menjadi begitu, melalui sembahyang mereka termasuk zikir, wirid dan selawat mereka. Kata Abuya sembahyang itu agung. Darinya terbina peribadi agung.

 

Namun bagaimana pun, saya tidak hairan kalau ada orang tidak mempercayai semua ini, kerana saya sangat tahu, Nabi pun ditolak orang. Sebab hanya orang yang mahukan Tuhan saja yang akan mempercayai dan menghargai akan orang-orang yang sudah mendapatkan Allah dan Rasul.

 

S3 : Benarkah Ummu Jah membuat kenyataan bahawa kematian Ashaari tidak perlu diadakan tahlil atau doa selamat dan cukup digantikan dengan menganjurkan konsert semata-mata kerana menganggap Abu Ya tidak meninggal dunia serta bergabung dengan Nabi Muhammad s.a.w dan Imam Mahdi?

 

Ummu Jah : Kami anak murid Abuya, selain sembahyang, kami juga sangat diarahkan untuk berdoa kepada Allah untuk keselamatan orang-orang Islam yang hidup mahupun yang mati. Bahkan bukan saja doa, semua pahala dari amalan-amalan ibadah kami (jika ada) kami minta Allah hadiahkan pula kepada kedua-dua ibubapa dan guru-guru yang masih hidup apalagi yang sudah mati. Manakala konsert yang sering kami persembahkan itu tiada kena mengena dengan kematian. Ianya ialah hiburan, oleh badan kebudayaan GISB.

 

Dan semua orang tahu kami ini didisiplinkan untuk tahlil (arwah) setiap malam Isnin dan Jumaat, cuma kadang-kadang sempat buat kadang-kadang tidak. Kalaupun kami tak buat resmi-resmi macam masyarakat umum, tapi tidaklah bid’ah bukan. Sepertilah konsert Islam yang selalu kami buat itu tidaklah bid’ah. Abuya ajar kami urusan-urusan dengan Allah, nak memohon supaya Allah terima Allahyarham, ampunkan rohnya itu seeloknya dibuat secara tak resmi. Begitu juga sembahyang-sembahyang hajat seeloknya tidak dipolitikkan atau dibuat secara riuh rendah. Urusan meminta kepada Allah ialah urusan hati yang kena dibuat betul-betul di dalam keadaan hati terhubung erat kepada Allah. Ia adalah ibadah. Ia adalah peribadi. Itupun belum tentu Allah menerima doa kita itu. Sebab syarat kabul doa banyak bersifat rohani.

 

Perihal Abuya, yang mati, (tapi ada anak muridnya yang katanya mempunyai hujah yang cukup untuk meyakini Abuya belum mati (cuma ghaib). Sebenarnya roh Abuya terus hidup sekalipun jasadnya mati. Itu semua orang Islam tahu. Bahawa orang-orang soleh itu, apalagi orang-orang yang mati syahid serta Nabi-nabi dan wali-wali Allah itu dikatakan hakikatnya tidak mati kerana jasad saja kaku tapi rohnya hidup. Jasad mereka tidak reput di dalam kubur-kubur mereka.

 

Sepanjang hidupnya Abuya itu semua orang tahu, beliau sangat memperjuangkan Imam Mahdi dan Nabi Muhammad SAW. Sebab roh kedua-dua Muhammad bin Abdullah itu sangatlah aktif di alam roh sana. Dari hidupnya lagi Abuya sangat intim dengan roh-roh itu. Sampai ada sajak rindu dan lagu rindu untuk Rasulullah SAW dan Imam Mahdi oleh Abuya.

 

Bukankah sekarang ini semua orang Islam tahu Nabi Muhammad itu hidup di alam roh? Dan bukankah ramai orang Islam di dunia sedang menunggu Imam Mahdi? Kalau begitu apakah mustahil kalau dikatakan bahawa Abuya itu kini bersama atau berangkaian dengan roh-roh Nabi dan Imam Mahdi di alam roh?

 

Hadis : Roh-roh itu ialah tentera-tentera yang siap, terlatih (untuk bertugas).

 

Apakah Abuya itu masih hidup jasadnya? Menurut saya? Itu saya telah jelaskan di dalam Buletin rakyat yang lepas-lepas. 

 

Bilik hujung, 2nd floor, Villa RSA Medina.

9.57am, Jun 15, 2012

Anjangmuor.wordpress.com 

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s