Maqam 3 Syuhada’ dan Medan Perang Muktah

Makam Saiyidina Jaafar Abi Thalib

Salam semua, bertemu kembali, dari bandar RSA Jerash. Irmawan dah balik ke Indonesia, ada peranan yang dia mainkan untuk pelancaran KTS Indonesia. Setelah 3 bulan merakam dan mengedit video klip Power Kaabah dengan Zai. Berpeluang bertemu keluarga yang telah lama ditinggalkan. Zai pula, esok bertolak ke Jeddah. Menunaikan umrah dan melawat istana RSA di Mekah dan villa di Madinah. Zai agak cemas bila aku mainkan audio program perbincangan skrip filem manasik haji bersama bonda yang Sy Kadir hantar kepadaku. Siapapun akan cemas bila diminta mengucapkan skrip yang lahir dari hati, dari ruh yang hidup, yang dapat berhubung dengan Rasulullah saw. Paling tidak dapat merasakan kehadiran baginda setiap ketika khususnya di istana dan villa. Atk.

Akhirnya tinggallah aku sendirian di homestay tapi ramai lagi syabab dan banin di bangunan mat’am. Syh Daud pun ada di bilik sebelah, cuma komunikasi dengannya agak terhad. Moga Allah kembalikan pendengarannya.

maqam Abdullah Rawahah

Maqam Abdullah Rawahah

Ok, mari kita sambung kisah xpdc dengan Bod dan Ibu tempoh hari. Dari Amman, kami bergerak ke selatan Jordan. Dalam jarak 195km untuk menziarahi maqam-maqam syuhada’ Muktah. Antara cita-cita yang aku dan kawan-kawan idamkan semasa belajar di yayasan Al Arqam di Alai dan Masjid Tanah Melaka, juga di Bt Hampar, Beruas, Perak ialah ingin mati syahid. Kata Ustaz ketika itu, orang mati syahid terus ke syurga tanpa hisab, hatta tanpa azab kubur. Oh, alangkah beruntungnya… Soalan kubur tu, walaupun dah lama bocor, ramai yang failed menjawabnya. Sebab bukan mulutmu yang menjawabnya, tetapi amalanmu di dunia. Cuma kata Ustaz, untuk dapat syahid, tak boleh ada hutang. Walau 10sen, akan tergantung syahidnya hingga dihalalkan. Aku rasa macam dah tak ada harapan, hutang kereta belum habis-habis. Ada ke bank nak halalkan? Atk.

Medan Perang Muktah

Medah Perang Muktah

PERANG MUKTAH
Perang Muktah berlaku pada bulan Jamadil Awal tahun ke 8 Hijrah (629M) kerana Rasulullah saw hendak membela kematian seorang utusan baginda bernama Harith bin Umair Al Azdi yang dibunuh oleh raja Busro Syurahbil bin Amru Al Ghassani atas arahan Heraklius. Rasulullah saw sangat berduka cita kerana beliaulah satu-satunya utusan baginda yang dibunuh secara khianat kerana mengikut undang-undang yang diterima bersama, seorang utusan tidak boleh dibunuh. Ini adalah maruah Islam. Ini perlu dibela, demi menunjukkan Islam di pihak yang benar. Kalau Perjanjian Hudaibiyah merupakan pendahuluan umrah Qadha hingga membawa kepada Futuh Mekah, perang Muktah ini pula pendahuluan kepada peperangan Tabuk, yang akhirnya membawa kepada pembebasan Syam. Maka Rasulullah saw mempersiapkan pasukan tentera seramai 3000 orang untuk menyerang tentera Rom seramai 100,000 orang yang bergabung dengan tentera-tentera Arab Badwi dan penganut agama kristian di bawah jajahan Rom seramai 100,000 orang. Ertinya 3000 menentang 200,000 orang.

Kalau kita fikirkan, ia sangat tidak seimbang. Seolah-olah pergi untuk menempah maut. Tapi demi maruah agama, gerakan ini diteruskan. Itulah yang Abuya lakukan selama ini, demi maruah agama Abuya berperang dengan semua sistem yang bukan sistem Tuhan. Abuya tidak mahu anak dan menantu Abuya bersalian di klinik yang tidak menjaga syariat, itu maruah. Abuya tak mahu, orang-orang Abuya makan makanan yang haram atau syubhat…. itu maruah. A tak mahu, pengikut-pengikut Abuya, khasnya para remaja berhibur yang melupakan Tuhan, itu maruah. Maka Abuya buka kilang-kilang makanan Islam, walau kilang-kilang musuh Islam jauh lebih besar, man power mereka lagi ramai. Abuya lancarkan sistem Tuhan melalui; kebudayaan, klinik, pasaraya, restoran, pendidikan, bahan bacaan, audio, video, Tabung Takwa, kelab poligami, kelab Taat Suami (KTS) dan semua sistem kehidupan demi memerangi ageda musuh-musuh Tuhan.

Di dalam peperangan ini, Rasulullah saw tetapkan Saiyidina Zaid bin Harithah sebagai panglima perang dan berpesan: “Jika gugur Zaid, Jaafarlah menggantinya, jika gugur Jaafar, Abdullah Rawahah pula menggantinya, jika Abdullah juga gugur, pilihlah pemimpin di kalangan kamu.” Maka berangkatlah tentera Islam, menuju ke sempadan jajahan Rom hingga sampai ke perkampungan Ma’an (sekarang dalam Negara Jordan), di situ mereka mendapat berita bahawa angkatan tentera Rom berjumlah 200,000 orang sedang menunggu mereka. Tentera Rom ketika itu sudah sampai Balqa’. Maka bermesyuaratlah tentera Islam mengenai strategi mereka. Ada yang berpendapat agar dihantar utusan kepada Rasulullah saw untuk meminta bantuan.

Ketika itulah, Saiyidina Abdullah bin Abu Rawahah, sebagai penyair Rasulullah berperanan memberikan ucapan yang penuh semangat: “Saudara-saudara, apa yang kita tidak suka, itulah yang kita cari sekarang iaitu mati syahid. Kita memerangi musuh bukan kerana kelengkapan, bukan kerana kekuatan juga bukan kerana jumlah tentera yang ramai. Tetapi kita memerangi mereka hanyalah kerana agama ini yang kerananya Allah memuliakan kita. Oleh itu, mari mara ke hadapan. Kita akan memperolehi salah satu dari dua kebaikan: menang atau mati syahid!! Ucapan Abdullah mendorong tentera Islam terus bersemangat berkobar-kobar mengharungi perperangan.
Saiyidina Zaid bin Harithah sebagai panglima perang bertempur dengan gagah berani. Dari lepas Subuh hari pertama hingga hari keenam tentera Islam berjaya dalam setiap serangan. Tentera Rom tidak menyangka sama sekali, dengan bilangan yang sangat kecil, tentera Islam berani memulakan serangan. Ia mengakibatkan kematian yang banyak di pihak musuh malah menggerunkan hati-hati mereka.

Tetapi ketentuan Tuhan pasti berlaku, di hari keenam, tentera Rom membalas serangan. Ketua tentera dan pemegang bendera Islam ini tersungkur ketika panah-panah dan tombak-tombak milik pasukan Rom mulai mengoyak tubuhnya, dan sebelum kematiannya, ia menyerahkan bendera yang dibawanya kepada Saiyidina Jaafar yang berada dekatnya. Pergilah kekasih Rasulullah saw bertemu Kekasih Agung.

Kepimpinan tentera disambung oleh Saiyidina Jaafar yang berwajah tampan ini masih muda, wajahnya dan akhlaknya seperti Rasulullah saw. Belum lama pulang dari berhijrah ke Habsyah, sudah menggalas tugas yang besar. Dengan menunggang kudanya, ia menerobos di tengah-tengah musuh-musuhnya, pedang di tangan kanannya, bendera di tangan kirinya. Namun tidak berapa lama selepas itu, kuda milik Jaafar tersungkur ditusuk tombak musuh lalu Jaafar terjatuh. Satu hayunan pedang menebas tangan kirinya, bermati-matian ia mempertahankan bendera Rasulullah saw yang dibawanya dengan tangan kanan, namun lagi satu tebasan pedang memotong tangan kanannya, lalu ia mengapit bendera tersebut dengan kedua pangkal lengannya, sambil berlari menuju Abdullah bin Rawahah. Saiyidina Jaafar menemui syahidnya dalam keadaan badannya terbelah dua. Lalu Allah gantikan dua tangannya dengan sayap lantas terbang ke syurga.

Saiyidina Abdullah bin Rawahah menerima bendera yang sudah koyak itu dari Jaafar lalu meneruskan pertempuran hingga ke titisan darah terakhir. Berlakulah janji Rasulullah saw, ketiga-tiga panglima perang ini menemui syahid mereka di Muktah.

Selepas itu bendera itu diambil oleh Thabit bin Al Arqam dari Bani Ajalan, lalu melaungkan: “Wahai kaum muslimin, mari kita pilih calon yang sesuai mengetuai kita.”, kerana beliau tahu ketidak mampuan dirinya memimpin. Maka, akhirnya bendera Islam diserahkan kepada Khalid bin Al Walid, pedang dari pedang-pedang Allah.
Khalid yang menyedari pertempuran berjalan tidak seimbang lalu mengatur strategi. Ketika itu pertempuran hanya berlaku di waktu siang. Di waktu malam, beliau merancang dan menyusun tentera-tentera Islam. Pasukan sayap kanan ditukarkan ke sayap kiri, begitulah sebaliknya. Pasukan belakang, dikehadapankan, begitulah sebaliknya. Di belakang pasukan tentera Islam Khalid letakkan satu pasukan berkuda yang membawa dahan dan ranting kayu, mengheretnya di padang pasir agar timbul debu-debu yang berterbangan. Seolah-olah pasukan bantuan tiba. Ada kumpulan yang bertakbir dan tahlil beramai-ramai untuk menambahkan kegerunan musuh.

Gabungan qiamulail di malam hari, merintih, mengadu pada Tuhan dan strategi peperangan dari seorang yang pakar ternyata berhasil. Bantuan Allah pun sampai. Ketakutan menyelubungi hati tentera-tentera Rom dan arab Badwi. Wajah-wajah yang berperang, sudah berubah. Bukan muka-muka yang mereka lihat sebelum ini. Ditambah dengan debu-debu yang tebal berterbangan di belakang pasukan tentera muslim dan takbir dan tahlil yang bergema hebat, seolah-olah ada bantuan ketenteraan yang sampai. Ia menggentarkan hati tentera. Malah ada ketikanya kuda Saiyidina Khalid sampai berdekatan dengan khemah ketua tentera lalu Rom lalu menarik diri dari medan pertempuran. Bilangan 3000 pun mereka belum berjaya hadapi, betapa lagi kalau bergabung dengan tentera tambahan. Di saat kucar-kacir tentera Rom ini, Saiyidina Khalid mengambil peluang mengundurkan diri, menyelamatkan sahabat-sahabat dari jumlah kematian yang mungkin bertambah.

Perang yang telah berjalan selama seminggu  itu berakhir tanpa ada kemenangan total dari kedua pihak, kaum muslim kehilangan 13 orang tenteranya yang menemui syahid sedangkan di pihak Rom seramai 3350 orang. Tetapi melihatkan angka kematian berbanding jumlah tentera, moralnya Rom kalah dalam pertembungan pertamanya dengan tentera Islam. Satu angka yang ajaib, 200,000 orang menentang 3000 orang hanya membabitkan kematian 12 orang Islam sahaja. Pun begitu, hanya ada 3 maqam sahaja yang masih kekal hingga ke hari ini, medan Peperangan Muktah bersama runtuhan masjid lama dan land mark Medan Muktah berbentuk kubah sebagai bukti untuk kami lawati.

Maqam Sy Zaid Harithah

Maqam Sy Zaid Harithah

Di Mazar kami lawati maqam Saiyidina Jaafar bin Abi Talib, Saiyidina Zaid bin Harithah dan Saiyidina Abdullah Rawahah. Mereka masih hidup, masih berjuang tetapi kita tidak dapat melihatnya. Ya Allah, pinjamkan kami roh-roh pejuang Islam terdahulu, agar dapat kami ulangi sejarah ini, dengan ilmunya, dengan rohnya melalui pimpinan orang-orangNya. Amin…Atk.

Musolla Syabab Mat’am Qasr Lubnan, Jordan
6.06pm Jun 20, 2011
(anjangmuor.word.pres.com)

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s