Maqam Abu Saiyidina Hurairah RA

Maqam Abu Hurairah

Terletak di tengah –tengah suoq Hamidiyah, Damsyiq, Syria. Bagiku Tsaurah Arabiyah Kubro adalah pengkhianatan kepada umat Islam sedunia bila ia menjatuhkan empayar Islam terakhir, Empayar Othmaniyah. antara bahana pengkhianatan ini aialah dicabutnya penghormatan tinggi yang Islam berikan para Sahabat. Kalau di Negara wahabi Saudi, tiada pengenalan langsung di kubur-kubur sahabat. Di Negara sosialis Syria ini kubur Saiyidina Abu Hurairah yang terkenal  hanya dibiarkan di tengah-tengah pasar yang sibuk ini. Baik sikit dari Saudi. Tetapi cuba bandingkan dengan maqam Abu Ayub Al Ansari di Turki, sangat dijaga…

Abu Hurairah sahabat Rasulullah SAW ini ialah seorang perawi hadis yang terkenal. Dilahirkan 19 tahun sebelum Hijrah. Namanya sebelum Islam Abd Syams sedangkan nama Islamnya adalah Abdur Rahman. Berasal daripada qabilah ad-Dusi di Yaman.

Asal usul gelaran Abu Hurairah

Gelaran Abu Hurairah RA adalah kerana kegemarannya bermain dengan anak kucing. Diceritakan pada suatu masa ketika Abu Hurairah RA bertemu Rasullullah S.A.W. dia ditanyai apa yang ada dalam lengan bajunya. Apabila dia menunjukkan anak kucing yang ada dalam lengan bajunya lantas dia digelar Abu Hurairah RA oleh Rasullullah S.A.W. Semenjak itu dia lebih suka dikenali dengan gelaran Abu Hurairah RA.

Abu Hurairah memeluk Islam

Abu Hurairah RA memeluk Islam pada tahun 7 Hijrah ketika Rasulullah S.A.W. berangkat menuju ke Khaibar. Ketika itu ibunya masih belum menerima Islam malah menghina Nabi. Abu Hurairah RA lalu bertemu Rasulullah S.A.W. dan meminta baginda berdoa agar ibunya masuk Islam. Kemudian Abu Hurairah RA menemui ibunya kembali, mengajaknya masuk Islam. Ternyata ibunya telah berubah, bersedia mengucapkan dua kalimat syahadat.

Apabila pulang dari Perang Khaibar, Rasulullah S.A.W. memperluaskan Masjid Nabawi ke arah barat dengan menambah ruang sebanyak tiga tiang lagi. Abu Hurairah RA turut terlibat dalam pengubahsuaian ini. Ketika dilihatnya Rasulullah S.A.W. turut mengangkat batu, ia meminta agar beliau menyerahkan batu itu kepadanya. Rasulullah S.A.W. menolak seraya bersabda, “Tiada kehidupan sebenarnya, melainkan kehidupan akhirat.” Inilah bait-bait nasyid yang kita dendangkan di era Al Arqam, terngiang-ngiang lagi suara nyaring merdu arwah Imam Ghazali menasyidkan:

اللهم لا عيشة إلا عيشة الآخرة فاغفر للأنصار والمهاجرة

نحن الذين بايعوا محمدا على الجهاد ما بقينا آبدا

لو لا أنت ما اهتدينا ولا تصدقنا ولا صلينا

فأنزل سكينة علينا وإن أرادوا فتنة أبينا

Abu Hurairah RA pernah tersilap menimbang makanan yang lazat sehinggakan dia dikenakan hukuman dipukul oleh Rasulullah S.A.W. Bagaimanapun Abu Hurairah RA gembira “Kerana Nabi menjanjikan akan memberi syafaat kepada orang yang pernah merasa disakitinya secara sengaja atau tidak,” katanya.

Begitu cintanya kepada Rasulullah S.A.W. sehingga siapa pun yang dicintai, ia ikut mencintainya. Misalnya,ia suka mencium Hasan dan Husain, karena melihat Rasulullah S.A.W.mencium kedua cucunya itu.

Ini baru dinamakan cinta. Hari ini jika kita meniru apa yang pemimpin lakukan orang kata taasub. Lihatlah taasubnya sahabat dengan Rasulullah SAW.

Abu Hurairah RA berpindah ke Madinah untuk mengadu nasib. Di sana ia bekerja menjadi buruh kasar bagi siapa yang memerlukannya Sering kali dia mengikatkan batu ke perutnya, kerana menahan lapar yang amat sangat. Malah diceritakan bahawa dia pernah berbaring berhampiran mimbar masjid sehinggakan orang menyangka dia kurang waras. Apabila Rasullullah S.A.W. mendengarkan perkara tersebut, baginda menemui Abu Hurairah RA yang menjelaskan bahawa dia berbuat sedemikian kerana lapar, lalu Rasullullah S.A.W. pun segera memberinya makanan.

Abu Hurairah RA adalah sahabat yang sangat dekat dengan Nabi S.A.W. Ia dikenal sebagai salah seorang ahli shuffah, yaitu orang-orang miskin atau sedang menuntut ilmu dan tinggal di masjid Nabi. Beliau begitu rapat dengan Nabi S.A.W., sehingga baginda selalu menyuruh Abu Hurairah RA untuk mengumpulkan ahli shuffah, jika ada makanan yang hendak dibagikan.

Pernah pula pada suatu masa, dia duduk di pinggir jalan tempat orang biasanya berlalu lalang sambil mengikatkan batu ke perutnya. Dilihatnya Abu Bakar r.a melintas. Lalu dia minta dibacakan satu ayat Al-Quran. “Aku bertanya begitu supaya dia mengajakku ikut, memberiku pekerjaan,” tutur Abu Hurairah RA. Tapi Abu Bakar RA cuma membacakan ayat, lantas berlalu.

Dilihatnya Umar ibn Khattab RA. “Tolong ajari aku ayat Al-Quran,” kata Abu Hurairah RA. Ternyata dia kecewa sekali lagi kerana Umar RA melakukan hal yang sama.

Tak lama kemudian Rasullullah S.A.W. pula yang berlalu. Nabi tersenyum. “Beliau tahu apa isi hati saya. Beliau boleh membaca raut muka saya dengan tepat,” tutur Abu Hurairah RA.

“Ya Aba Hurairah!” panggil Nabi.

“Labbaik, ya Rasulullah!”

“Ikutlah aku!”

Beliau mengajak Abu Hurairah RA ke rumahnya. Di dalam rumah didapati semangkok susu. “Dari mana datangnya susu ini?” tanya Rasulullah S.A.W.. Beliau diberitahu bahwa seseorang telah memberikan susu itu.

“Ya Aba Hurairah!”

“Labbaik, Ya Rasulullah!”

“Tolong panggilkan ahli shuffah,” kata Rasullullah S.A.W. Susu tadi lalu dibagikan kepada ahli shuffah, termasuk Abu Hurairah RA. Itulah mukjizat Nabi SAW, susu semangkuk cukup mengenyangkan bilangan yang ramai. Sejak itulah, Abu Hurairah RA berkhidmat dengan Rasullullah S.A.W. , bergabung dengan ahli shuffah di masjid.

Maka jika ada pengikut-pengikut ulama pewaris Nabi yang sanggup berkhidmat dengan mursyidnya, lantaran melihat kebesaran karamah Tuhan yang ada pada mursyidnya, tidak sepatutnya sikap itu dimusuhi. Inilah sikap-sikap yang diwarisi dari para sahabat Rasulullah SAW. Pernah Abuya berkata: Ikhwan itu ialah orang yang kekal dalam jemaah hingga ke hujung. Mereka samada berketurunan Nabi Muhammad yang mulia ataupun dari keturunan sahabat-sahabat baginda SAW.

Walaupun Abu Hurairah RA merupakan seorang yang papa pada mulanya, dia telah dipinang oleh salah seorang majikannya yang kaya raya untuk puterinya, Bisrah binti Gazwan. Rahmat Islamlah yang membuatkan Abu Hurairah RA dipandang mulia bukan kerana harta dunia karena kealiman dan kesalihannya.

Sejak berkahwin, Abu Hurairah RA membahagi malamnya kepada tiga bahagian: untuk membaca Al-Quran, untuk tidur dan keluarga, dan untuk mengulang-ulang hafazan hadis. Dia dan keluarganya tetap hidup sederhana walaupun setelah menjadi orang berada . Abu Hurairah RA suka bersedekah, menjamu tamu, bahkan memberi sedekah rumahnya di Madinah untuk pembantu-pembantunya.

Rasulullah S.A.W. pernah mengutuskan Abu Hurairah RA berdakwah ke Bahrain bersama Al-Ala ibn Abdillah Al-Hadrami RA Dia juga pernah diutus bersama Quddamah RA untuk mengutip jizyah di Bahrain, sambil membawa surat ke Amir Al-Munzir ibn Sawa At-Tamimi.

Abu Hurairah RA berjaya meriwayatkan banyak hadis disebabkan beliau sentiasa berdamping dengan Rasulullah selama 3 tahun, selepas memeluk Islam. Ini sebagaimana yang di riwayatkan olehnya :

… sesungguhnya saudara kami daripada golongan Muhajirin sibuk dengan urusan mereka di pasar dan orang-orang Ansar pula sibuk bekerja di ladang mereka sementara aku seorang yang miskin sentiasa bersama Rasulullah S.A.W. ‘Ala Mil’i Batni. Aku hadir di majlis yang mereka tidak hadir dan aku hafaz pada masa mereka lupa. (Al-Bukhari)

Pada mulanya Abu Hurairah RA mempunyai ingatan yang lemah lalu beliau mengadu kepada Rasulullah. Rasulullah lalu mendoakan agar Abu Hurairah RA diberkati dengan daya ingatan yang kuat lalu semenjak hari itu Abu Hurairah dikurniakan dengan daya ingatan yang kuat yang membolehkan beliau meriwayatkan jumlah hadis terbanyak di kalangan para sahabat.

Dikatakan pada satu ketika Abu Hurairah RA telah diamanahkan oleh Rasulullah S.A.W. untuk menjaga gudang hasil zakat. Pada suatu malam Abu Hurairah RA telah ternampak seseorang mengendap-gendap hendak mencuri, lalu ditangkapnya. Orang itu pun hendak dibawanya berjumpa Rasulullah S.A.W. tetapi pencuri itu merayu minta dikasihani seraya menyatakan bahawa dia mencuri untuk menyarai keluarganya yang kelaparan.

Abu Hurairah RA merasa kasihan lalu melepaskan pencuri itu dengan amaran agar tidak mengulangi perbuatannya lagi.

Keesokkan harinya perkara tersebut dilaporkan kepada Rasulullah S.A.W. Rasulullah S.A.W. tersenyum lalu bersabda bahawa pencuri itu pasti akan kembali.

Ternyata keesokkan malamnya pencuri itu datang lagi. Sekali lagi Abu Hurairah RA menangkap pencuri itu lalu hendak dibawanya berjumpa dengan Rasulullah S.A.W. Sekali lagi, pencuri itu merayu sehinggakan Abu Hurairah RA merasa kasihan lalu melepaskannya sekali lagi. Keesokkan harinya, dia melaporkan hal tersebut kepada Rasulullah S.A.W. yang mengulangi sabdanya bahawa pencuri itu pasti akan kembali.

Apabila pencuri itu ditangkap sekali lagi Abu Hurairah RA mengancam akan membawanya berjumpa Rasulullah S.A.W. Pencuri itu merayu meminta dibebaskan sekali lagi lagi. Apabila Abu Hurairah RA enggan melepaskannya, pencuri itu menyatakan dia akan mengajar sesuatu yang baik sekiranya ia di bebaskan. Pencuri itu menyatakan bahawa sekiranya seseorang itu membaca ayat Kursi sebelum tidur syaitan tidak akan menggangguinya.

Abu Hurairah RA merasa tersentuh mendengarkan ajaran pencuri itu lalu melepaskannya pergi. Keesokkan harinya dia melapurkan peristiwa tersebut kepada Rasulullah S.A.W. yang bersabda, pencuri yang ditemuinya itu adalah pembohong besar, tetapi apa yang diajarkan kepada Abu Hurairah RA itu adalah perkara yang benar. Sebenarnya pencuri itu adalah syaitan yang dilaknat.

Era Saiyidina Umar RA

Saiyidina Umar RA pernah melantik Abu Hurairah RA menjadi gabenor Bahrain ketika beliau menjadi Amirul Mukminin. Tapi pada 23 Hijrah, Umar RA memecatnya kerana Abu Hurairah RA dituduh menyimpan wang yang banyak sehingga 10,000 dinar. Ketika pembicaraan, Abu Hurairah RA berjaya membuktikan bahawa harta itu diperolehinya dari berternak kuda dan pemberian orang. Khalifah Umar RA menerima penjelasan itu dan memaafkannya. Lalu dia diminta menerima jabatan gabenor kembali, tapi Abu Hurairah RA menolak. Dia memilih untuk tinggal di Madinah, menjadi warga biasa yang memperlihatkan kesetiaan kepada Umar, dan para pemimpin sesudahnya.

Era Usman ibn Affan

Apabila kediaman Amirul Mukminin Usman ibn Affan RA dikepung pemberontak, dalam peristiwa yang dikenali sebagai al-fitnatul kubra (fitnah/bencana besar), Abu Hurairah RA bersama 700 orang Muhajirin dan Ansar tampil mengawal rumah tersebut. Meski dalam keadaan siap untuk bertempur, Khalifah Usman ibn Affan RA melarang pengikut setianya itu memerangi kaum pemberontak.

Era Ali ibn Abi Talib

Pada masa Amirul Mukminin Ali ibn Abi Talib RA , Abu Hurairah RA menolak tawaran menjadi gabenor Madinah. Ketika terjadi pertemuan antara Khalifah Ali dan lawannya, Muawiyah ibn Abi Sufyan, ia bersikap berkecuali dan menghindari fitnah. Setelah Muawiyah berkuasa, Abu Hurairah RA dilantik menjadi gabenor Madinah setelah diusul oleh Marwan ibn Hakam.

Kewafatan Abu Hurairah

Ramai yang berpendapat bahawa Abu Hurairah RA meninggal dunia di Madinah Munawwarah pada 57 atau 58 H. (676-678 M.) dalam usia 78 tahun. Pun begitu maqamnya berada di Pelestin, Mesir dan Syria. Abu Hurairah RA meninggalkan sebanyak 5,374 hadis.

Warisan

Hadis Abu Hurairah RA yang disepakati Imam Bukhari dan Muslim berjumlah 325 hadis, oleh Bukhari sendiri sebanyak 93 hadis, dan oleh Muslim sendiri 189 hadis. Hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah RA juga terdapat dalam kitab-kitab hadis lainnya.Antara menantunya adalah Said bin Al-Musayyab.

Advertisements

One thought on “Maqam Abu Saiyidina Hurairah RA

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s